Inovasi lonjakkan ekonomi
YAB Presiden, Naib-naib Presiden, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT), sidang perwakilan dan pemerhati sekalian.
Sukacita dirakamkan ucapan terima kasih kepada jurucakap-jurucakap yang telah membahaskan usul ekonomi semalam iaitu wakil daripada negeri Pahang, Perlis, Kelantan, Kedah, Wilayah Persekutuan dan wakil Wanita.
Ekonomi negara akan menghadapi laluan sukar pada tahun ini dan tahun depan. Ia berpunca daripada kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. World Trade Organisation (WTO) menjangkakan bahawa perdagangan dunia akan merosot sebanyak sembilan peratus, suatu penyusutan terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Justeru itu sebagai sebuah ekonomi yang terdedah kepada kesan ekonomi global dan pendedahan ini adalah kerana kejayaan kita selama ini mengembangkan perdagangan negara kita sehingga menjadi antara negara tertinggi di dunia dari segi perdagangan kita.
Namun sekiranya perdagangan kita merosot maka sudah tentu kesan dan tempiasnya akan dirasai ekonomi negara. Oleh itu untuk tahun ini kita menjangka bahawa pertumbuhan antara satu peratus negatif dan satu peratus positif mungkin akan menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun kita akan akan menghadapi rempuhan tsunami ekonomi ini dengan langkah-langkah pemantapan melalui usaha-usaha mikro dan makro termasuk melaksanakan segera pakej-pakej rangsangan.
Bajet 2009 telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri berjumlah RM206 bilion, saya bagi pihak kerajaan telah umumkan Pakej Rangsangan Pertama berjumlah RM7 bilion dan Pakej Kedua pula RM60 bilion.
Pada tahun depan, kemungkinan kita akan peruntukan sejumlah RM200 bilion lagi. Ini bererti dalam tempoh dua tahun ini, sebanyak lebih kurang RM470 bilion akan dibelanjakan untuk menjana ekonomi negara dengan lebih baik lagi.
Walaupun begitu, keberkesanannya kepada ekonomi negara hanya akan menjadi kenyataan sekiranya ekonomi dunia pulih. Kita mungkin melalui projek rangsangan menambahkan pertumbuhan satu atau dua peratus dari segi KDNK tetapi untuk kembali kepada pertumbuhan enam atau tujuh peratus bergantung kepada ekonomi dunia.
Dalam pada itu saya ingin menegaskan bahawa atas keprihatinan kerajaan maka usaha akan diteruskan supaya rakyat akan mendapat perlindungan sebaik-baiknya. Kesejahteraan rakyat akan terus diutamakan oleh kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Sebagai bukti jumlah subsidi pada tahun 2008 berjumlah RM34.1 bilion dan subsidi pada tahun ini untuk mengawal harga subsidi petrol, diesel, gas memasak, gandum, roti, gula, tepung, beras, buku teks, biasiswa, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan tol lebuh raya berjumlah hampir RM28 bilion. Inilah contoh jelas bahawa dalam keadaan ekonomi dunia mengalami keadaan sukar tetapi kerajaan UMNO dan BN tetap akan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Banyak telah diperkatakan tentang pakej rangsangan dan banyak yang hendak mengetahui tentang pelaksanaannya. Dan hampir semua yang bercakap telah mengingatkan kepada kerajaan bahawa yang penting adalah pelaksanaannya.
Untuk tujuan ini, sesuai dengan prinsip kerajaan yang telus. Maka, sukacita saya memaklumkan sebuah laman web khas akan dilancarkan dalam masa kira-kira dua minggu lagi untuk memberi segala maklumat dan butiran tentang pakej rangsangan pertama dan kedua.
Setakat ini, jumlah yang telah dibayar pada saat ini ialah sebanyak RM216 juta untuk 3,839 projek dan pada akhir bulan April ini dijangka RM1.5 bilion akan dibelanjakan untuk 10,000 projek dan pada akhir Mei ini RM5.2 bilion akan dibelanjakan untuk 38,000 projek.
Bila dilaksanakan, kebanyakan projek ini akan memberi faedah kepada kontraktor kelas F yang kebanyakannya penyokong UMNO dan BN.
Selain itu, saya ingin menyatakan tiga konsep yang akan menjadi pendekatan kerajaan selanjutnya. Yang Pertama, waktu Perdana Menteri mengemudikan kerajaan selama ini, beliau selalu menyebut tentang nilai tambah.
Saya hendak cuba gandingkan konsep Pak Lah dan satu lagi yang hendak saya utarakan di sini selain nilai tambah kita gandingkan dengan konsep nilai tinggi.
Nilai tambah kita semua faham, misalnya kalau kita mengeluarkan sesuatu hasilan dan ia diproses maka ianya boleh mendatangkan nilai tambah.
Tetapi konsep nilai tinggi ialah untuk mencari nilai tertentu yang boleh beri pendapatan lebih lumayan kepada pengusaha kita.
Sebagai contoh bidang pertanian, misalnya perusahaan burung walit atau bird’s nest merupakan satu projek nilai tinggi yang boleh diusahakan oleh pengusaha Melayu dan bumiputera kita.
Saya melihat banyak tanah terutama di Pantai Timur dan Barat yang boleh dijadikan sebagai tanah untuk diusahakan perusahaan bird’s nest ini.
Satu Lagi rumpai laut yang boleh diusahakan dan dieksport ke negara seperti Jepun. Satu lagi perusahaan ikan Arowana yang diusahakan oleh syarikat bumiputera hari ini sudahpun disenaraikan di Bursa Saham.
Saya tidak pasti tentang perusahaan kopi yang sebutkan perwakilan Perlis semalam. Kopi Jantan, Kopi Jagat, Kopi Kawe. Tapi yang sedapnya Kopi Kawe ini ada khasiatnya. “Dia bangun sebelum kita bangun”. Ada pula pemerhati sebut “dia bangun sebelum kita bangun” tetapi jangan pula “dia tidur sebelum kita tidur”.
Konsep kedua, iaitu konsep bahawa dua cabaran besar yang kita hadapi sekarang. Satu pulihkan kemelut ekonomi dan kedua buat persiapan untuk masa depan kita. Bererti kita mesti merumuskan satu hala tuju baru kerana apabila ekonomi dunia pulih nanti kita mempunyai daya saing yang kukuh di persada antarabangsa.
Begitulah kehebatan dan keadilan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang senantiasa mementingkan kesejahteraan rakyat jelata.
Dunia bergerak dari satu fasa ke satu fasa, pada fasa industri kepada apa yang dikatakan knowledge base.
Hari ini orang sebut tentang ekonomi inovasi, bererti bahawa kalaulah kita nak maju nanti kita mesti mampu untuk membuat inovasi. Bagaimana kita nak buat inovasi ini? Inilah satu perkara yang saya akan huraikan nanti, bukan dalam persidangan ini.
Tetapi saya nak pastikan bahawa dalam sistem kita ini termasuk dalam sistem persekolahan, kita mesti mendidik, melatih rakyat Malaysia agar mampu berinovasi untuk melonjakkan ekonomi negara.
Yang ketiga saya nak tekankan betapa pentingnya kita membezakan antara produktiviti dan kreativiti. Contoh mudah produktiviti, kalau dulu kerja lapan jam kini kita kerja 10 jam, itu peningkatan produktiviti.
Tetapi kalaulah kita ada penyelesaian yang kreatif, kita boleh mencapai bukan sahaja peningkatan tetapi lonjakan berganda. Inilah yang saya harap kita akan dapat pendekatan pemikiran kreatif, ekonomi yang inovatif dan insya-Allah daya saing yang lebih tinggi.
Saya tidak lupa bahawa dalam keadaan kemelut ekonomi ini, mungkin agenda Melayu dalam soal ekonomi tidaklah begitu terserlah tetapi percayalah sidang perwakilan sekalian bahawa UMNO tidak lupa bahawa kita perlu memperkuatkan kedudukan orang-orang Melayu dalam bidang ekonomi dan agenda ini mesti kita teruskan.
Beberapa buah syarikat yang telah kita kenal pasti umpamanya, dalam sidang yang sama tahun sudah saya sebut tentang Skim Jejak Jaya Bumiputera. Walaupun syarikat tersebut mungkin tak dapat disenaraikan tahun ini tapi insyaAllah apabila sampai masa ekonomi pulih kita akan senaraikan lebih banyak syarikat-syarikat bumiputera di bursa saham.
Saya juga mengambil teguran daripada sidang perwakilan tentang peranan GLC yang dikatakan oleh seorang wakil bahawa ada ada seseorang yang duduk dalam 60 syarikat. Saya dah semak perkara ini dan ini tidak mungkin kerana disebabkan mengikut peraturan sekarang seorang hanya boleh menjawat 10 jawatan ahli lembaga pengarah dalam syarikat yang tersenarai dan 15 dalam syarikat sendirian berhad.
Kalau ada maklumat yang sebenar, kalau silap saya tolong beritahu. Saya tak akan benarkan sesiapa memegang jawatan begitu banyak sekali.
Saya juga mendengar harapan saudara sekalian tentang peranan GLC, kalau boleh lantiklah lebih ramai orang UMNO menduduki GLC.
Saudara sekalian, kita perlu menseimbangkan antara peranan GLC untuk mengaut ataupun membawa keuntungan. Apabila GLC untung dividen pulang balik kepada khazanah dan khazanah akan pulang kepada kerajaan.
Bila kerajaan ada dividen lebih, lebih besar lagi peruntukan pembangunan boleh disediakan untuk kesejahteraan rakyat.
Jadi kalau kita nak lantik orang UMNO, ia mesti di kalangan orang UMNO yang mampu memberi sumbangan dan tambahan nilai kepada syarikat-syarikat kerajaan. Mudah-mudahan dengan cara seperti ini kita akan dapat menjamin ekonomi negara kita lebih kukuh lagi, insya-Allah.
Perkara-perkara lain saya ambil maklum di sini, kerana sudah tentu yang lebih diminati ialah bab politik dan perkara-perkara berhubung peralihan kepimpinan. Jadi saya akan ada peluang mengulas perkara ini selepas ini.
Cukuplah setakat ini bab ekonomi, kita ambil perhatian. Yang penting kita bersatu padu dan memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi negara.
Terima kasih. Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.
Source : Utusan Online 29.03.09Saya melihat banyak tanah terutama di Pantai Timur dan Barat yang boleh dijadikan sebagai tanah untuk diusahakan perusahaan bird’s nest ini
Translation:
I saw alot of land especially in the East and West Coast that can be used to develop the bird's nest industry.
No comments:
Post a Comment